KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan pujian kepada Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Syah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah di atas pendiriannya yang disuarakan akhir-akhir ini, sebagai suara demokrasi berperlembagaan negara.
"Salah satu dari asas negara kita ialah sistem Raja Berperlembagaan. Maka amatlah menyenangkan mendengar suara dari institusi tersebut yang menekankan kepentingan Perlembagaan Persekutuan,"katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Rakyat sedang menghadapi masa yang amat mencabar untuk negara ini, jaminan perlembagaan negara semakin hari semakin goyah ditekan penguasa, bertentangan dengan impian dan cita-cita pejuang-pejuang kemerdekaan, katanya.
Malangnya, suara-suara yang menyeru pendekatan perlembagaan yang sederhana telah ditutup oleh pihak berkuasa, menutup wacana terbuka dan segar yang diperlukan untuk negara ini maju ke depan, katanya.
"Peranan Raja Nazrin sebagai suara demokrasi berperlembagaan amatlah penting untuk waktu mencabar ini. Rakyat Malaysia yang prihatin dengan pentadbiran berperlembagaan amatlah bernasib baik diberkati dengan sokongan Raja Nazrin,"katanya.
Sumber : HarakahDaily
0 comments:
Post a Comment