Tuesday, April 22, 2008

MENDOAKAN ORANG LAIN..

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam selaku ikutan dan teladan yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia, tidak sekali-kali melepaskan peluang mendoakan kebajikan untuk orang lain bagi mengambil pahala daripadanya. Menurut Baginda bahawa do'a itu merupakan satu ibadat. Selain daripada beroleh pahala dari berdoa itu sendiri, mendoakan orang lain juga merupakan suatu amalan kebajikan dan setiap kebajikan itu pasti mendapat ganjaran pahala. Dengan yang demikian, mendoakan kebajikan untuk orang lain mempunyai dua ganjaran pahala.

Dalam hal ini, Baginda SAW disakiti,bahkan dilukai, Baginda masih mendoakan kebajikan untuk orang-orang yang menyakiti dan melukainya. Semasa perang Uhud, gigi Baginda patah dan muka Baginda luka sehinggalah berdarah akibat angkara musuh. Pada saat itu para sahabat merasa geram terhadap kebiadapan musuh itu, lalu meminta Baginda agar sudi berdoa supaya musuh-musuh yang terdiri daripada kafir Quraisy Makkah dibinasakan oleh Allah Ta'ala. Tetapi Baginda hanya menjawab dengan penuh kasih sayang : "Aku tidak diutus sebagai tukang laknat, akan tetapi saya diutus adalah sebagai penyeru kepada kebajikan dan sebagai rahmat ......" Lalu Baginda mendoakan kaum Baginda yang belum Islam :

"Ya Allah, Berikan kan pertunjuk kepada kaum-kaumku, kerana mereka belum mengetahui".

Selain dari itu, dalam banyak hadis, Baginda telah mendoakan kebajikan untuk orang lain, di antaranya :

1.. Mendo'akan supaya Umar Bin Al-Khatab boleh meneguhkan Islam
(Hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi).

2.. Seorang lelaki datang menemui Baginda meminta nasihat kerana ia hendak musafir. Setelah lelaki itu beredar, Baginda berdoa : "Ya Allah dekatkanlah untuknya perjalanan yang jauh dan mudahkanlah perjalanannya". (Hadis riwayat Tirmizi).

3.. Mendoakan supaya dosa Abu Salamah diampunkan dan ia tergolong orang-orang yang mendapat hidayah Allah. (Hadis riwayat Muslim).

4.. Mendoakan supaya diberi keampunan untuk orang-orang Ansor, anak dan cucu-cucu mereka. (Hadis riwayat Muslim)

5.. Mendoakan supaya Anas (pelayan Baginda) memiliki harta dan anak yang banyak & berkat (Muttafaq 'alaih).

6.. Mendoakan supaya puak Tha'if mendapat hidayah (Hadis riwayat Tirmizi).

7.. Mendoakan supaya orang-orang yang memimpin umatnya dikasihi Allah sekiranya pemimpin itu kasih kepada mereka (Hadis riwayat Muslim).

Sesuai dengan fungsi Baginda sebagai contoh dan teladan umat, maka setiap yang Baginda lakukan itu, bermakna umatnya juga adalah disuruh melakukannya. Jika seseorang itu belum Islam, didoakan supaya ia beroleh hidayah, supaya masuk Islam. Jika ia orang Islam, maka doakanlah supaya ia bertambah iman,taqwa, jadi baik, murah rezeki, lanjut usia dan lain-lain kebajikan.

Orang yang paling utama did'akan oleh orang Islam supaya ianya beroleh kebajikan ialah orang yang dianggap akan lebih banyak memberi manfaat kepada Islam dan umatnya, seperti ulama,ketua dan pemimpin Islam. Dengan adanya kebajikan yang didoakan itu pada diri orang yang didoakan, kebajikan itu bukan hanya untuk dirinya sendiri, bahkan akan merata kepada Islam dan umatnya. Jika ada orang yang ditimpa kesusahan doakan supaya ia beroleh ketenangan. Jika yang baharu berkahwin doakan supaya mereka beroleh zuriat yang saleh. Jika ada orang yang beroleh rahmat, doakan supaya ia mendapat Barakah. Jika ada orang yang menyambut hari ulang tahun, doakan supaya usianya lanjut, senantiasa beroleh hidayah dan taufiq.

Mendoakan kebajikan untuk orang lain, kita tidak akan kekurangan dan kerugian apa-apa, bahkan akan beroleh ganjaran pahala di samping akan didoakan orang lain pula,Insya Allah. Cuba kita renungkan,berkat doa-doa Baginda Nabi untuk orang lain, sehingga sekarang pun orang masih berdoa Baginda dicucuri selawat dan salam. Sesungguhnya pada diri Baginda terdapat contoh teladan yang baik.

0 comments: