Monday, February 26, 2007

Kebaikan TIDUR dan kajiannya!!

Dipetik dari blog http://pauhfc.wordpress.com/

Berikut adalah beberapa kajian saintifik mengenai tidur dan permasalahannya:

1) Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun. (Dr. Stanley Coren; ‘Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,’ Psychiatric Times, March 1998)

2) Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika telah melapurkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian $100 - $150 billion setahun. (Dr. Stanley Coren; Ibid)

3) Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis. (Rujukan: Tinker Ready (2000); ‘Naps: The Art of Snoozing’)

4) Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan ‘Lancet’ pada pada bulan Oktober, 1999. (Rujukan: Lancet: ‘Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)

sumber rujukan:”Tidur Mengikut Sunnah dan Penemuan Sains”-Dr Danial Zainal Abidin.

Tidur merupakan ibadah selagi mana kita tidak berlebih-lebihan dengannya. Dengan tidur, kita juga telah menunaikan hak pada badan dengan memberikan kerehatan padanya.

Berikut adalah beberapa hadis mengenai saranan tidur:

1)Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda’ yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata:
“Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: “Benarlah Salman.” (Bukhari)

2)Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda:
“Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri.”
(Bukhari-Muslim)

3)Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabipun terus mengeluarkan arahan:
“Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur.”
(Bukhari-Muslim)

QAILULAH

Jika mahu diceritakan sunnah Rasulullah saw ketika tidur memang sangat banyak. Tetapi, kali ini, aku hanya mahu berkongsi bagi yang belum mengetahui dan memperingatkan bagi yang telah mengetahui tentang satu sunnah tidur dari Rasulullah saw iaitu qailulah. Secara umumnya, qailulah adalah tidur sekejap diwaktu tengah hari.

Masih terdapat lagi segelintir yang memandang serong amalan ini tanpa mengetahui amalan ini juga sebenarnya diamalkan oleh Rasulullah saw.Malah ada yang mengatakan amalan tidur tengah hari menggambarkan sikap malas.Mungkin mereka belum tahu hikmahnya lagi.

Walaubagaimanapun, aku tak jumpa hadis yang mempunyai matan penuh mengenai amalan sunnah ini. Hanya 2 sumber aku jumpa biasa digunakan untuk menyandarkan amalan ini pada Rasulullah saw.

1) Di dalam kitab ‘Misykatul Masabih’ disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi:

“Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya.”

2)Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata:

“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor.”

Berikut pula adalah beberapa lagi penemuan sains yang berkaitan dengan qailulah:

1) Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa “92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.” (Napping News: ‘Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,’ from eFuse)

2) Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai ‘a midafternoon quiescent phase’ atau ‘ a secondary sleep gate.’

3) Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku ‘The Art of Napping at Work.’ Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka ‘Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.’

4) Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.(Gail Benchener: ‘Parents and Sleep Deprivation,’ Family.com)

sumber rujukan:”Tidur Mengikut Sunnah dan Penemuan Sains”-Dr Danial Zainal Abidin.

Sudah jelaslah kepada kita bahawa qailulah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Kajian saintifik telah membuktikannya. Yang disentuh disini hanyalah mengenai qailulah. Itu belum lagii sunnah-sunnah tidur dan bangun tidur yang lain. Aku pasti akan lebih banyak hikmah yang bakal kita temui.

Walaubagaimanpun, suka sekali lagi dingatkan bahawa qailulah adalah tidak terlalu lama. Sekadar 20-30 minit sahaja untuk memberi kerehatan pada badan. Lebih elok jika kesempatan rehat itu kita gunakan untuk mempersiapkan badan untuk mendirikan malam. Oh! Aku sendiri pun memang sangat liat nak bangun mendirikan malam. InsyaAllah kita cuba sama-sama amalkan sunnah ini untuk membantu kita bangun pada malam harinya.

Sekian Wasallam.

0 comments: