Wednesday, September 10, 2008

Awasss...Pencuri dalam solat!!!


Kenapa ramai di antara kita mencuri di dalam solat. Perkara ini sering berlaku pada empat ketika iaitu ketika ruku’, i’tidal, sujud dan ketika duduk antara dua sujud. Di dalam pemerhatian saya, perkara ini paling kerap berlaku ketika i’tidal.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Pencuri yang paling jahat ialah yang mencuri di dalam solat; tidak menyempurnakan ruku’nya dan sujudnya.”– Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Al-Tabarani dan Al-Hakim.

Suatu ketika Rasulullah melihat seorang yang tidak sempurna ruku dan sujudnya. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Kalau dia mati dalam keadaan begini, matinya tidak di dalam agama Muhammad. Dia solat mematuk-matuk seperti burung gagak mematuk darah. Perumpamaan orang yang tidak sempurna ruku dan sujudnya mematuk-matuk adalah seperti orang lapar yang makan satu atau dua butir tamar yang tidak akan mengenyangkannya.”– Riwayat dari Abu Ya’la, Al-Ajiri, Al-Baihaqi, Al-Tabarani, Al-Diya’ dan Ibnu Asakir.

Mati tidak dalam agama Muhammad, maksudnya apa…? Ini kes berat ni…!

Lagi sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Allah tidak akan memerhati solat hamba yang tidak meluruskan tulang punggungnya di antara ruku’ dan sujud” – Riwayat Ahmad dan Al-Tabarani.

Maknanya; Bagi orang yang tidak melakukan i’tidal dengan sempurna, Allah tidak mengambil kira solatnya.

Untuk menjelaskan lagi, agar kita tidak termasuk dalam golongan yang telah disebutkan tadi, marilah kita perhatikan beberapa lagi maksud potongan hadith yang berkaitan.

“Apabila kamu ruku’, letakkan telapak tanganmu di atas lutut dan luruskan belakangmu dan tetapkan ruku’mu.” – Riwayat Ahmad dan Abu Daud.

Tetapkan ruku’mu; bermakna bertenang seketika (thoma’ninah).

“Solat seseorang tidak mendapat pahala sehinggalah dia meluruskan tulang belakangnya di dalam ruku’ dan sujudnya.” – Abu Awanah, Abu Daud dan Al-Sahmi.

“Tidak sempurna solat seseorang sehinggalah ia membaca takbir, lalu ruku’, kemudian membaca sami’Allahulimanhamidah (Allah mendengar orang yang memujiNya), sampai dia berdiri lurus.”– Abu Daud dan Al-Hakim.

Ramai orang tidak sempat berdiri lurus ketika bangun dari ruku’. Mereka cuma angkat badan sedikit dan terus sujud. Maknanya tidak ada i’tidal (berdiri lurus setelah ruku’) dalam solat mereka; sedangkan i’tidal adalah rukun.

“Apabila bangkit, tegakkan tulang belakangmu dan angkat kepala sehingga tulang-tulang kembali ke sendinya.” – Al-Bukhari, Muslim, Al-Darimi, Al-Hakim, Al-Syafi’e dan Ahmad.

“Apabila sujud maka mantapkan muka dan tanganmu sehingga tulang-tulangmu kembali kepada kedudukannya.” – Ibnu Khuzaimah.

“Tidak sah solat orang yang tidak menyentuh hidungnya ke lantai sepertimana dahinya menyentuh lantai.”– Al-Darqutni, Al-Tabarani, Abu Naim.

“Tidak sempurna solat seseorang itu sehinggah dia sujud sampai tenang persendiannya, lalu mengucap Allahu Akbar, mengangkat kepalanya sampai duduk dengan tetap.”– Abu Daud.

Begitu juga pada keadaan sujud dan duduk di antara dua sujud, memerlukan thoma’ninah (bertenang seketika).

Marilah kita perbaiki solat kita supaya segala rukun-rukun dilakukan dengan sempurna, terutama pada rukun-rukun yang pendek, iaitu ruku’, i’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud.
Tentukan adanya thoma’ninah dalam setiap rukun setelah memperbetulkan kedudukan.
Semuga dengan panduan ini kita dapat memperbaiki amalan solat kita.Mudah-mudahan solat kita diterima Allah.

Rujuklah kepada guru-guru atau para imam bagi mendapat kefahaman yang lebih baik.
Sekian, semoga Allah mengurniakan kita taufiq serta hidayah. Wassalamu’alaikum.

0 comments: