Monday, April 27, 2009

Saintis percaya kesan penyusuan lebih kompleks terhadap kesihatan

Saintis percaya kesan penyusuan lebih kompleks terhadap kesihatan

Sumber : Berita Harian

WASHINGTON: Wanita yang menyusukan bayi mereka menambah satu lagi faedah kesihatan kerana amalan itu dapat mengurangkan risiko mendapat serangan jantung, sakit jantung atau angin ahmar, kata penyelidik.

Kajian di Amerika Syarikat mendapati wanita yang menyusukan bayi lebih setahun menurunkan risiko mendapat penyakit berkenaan sehingga 10 peratus berbanding mereka yang tidak pernah berbuat demikian. Malah proses penyusuan selama sekurang-kurangnya sebulan sudah cukup mengurangkan risiko diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Penyelidikan itu disiarkan dalam jurnal Obstetrics and Gynaecology. Hasil kajian menambah bukti yang semakin banyak mengenai kebaikan menyusu bagi kedua-dua ibu dan anak. Ketika menyusu mengurangkan risiko wanita diserang barah ovari, barah payu dara dan osteoporosis pada lewat usia mereka, bayi yang disusukan dengan susu ibu pula dilindungi daripada obesiti, diabetes, asma dan jangkitan telinga, perut dan dada.

Kajian terbaru oleh sepasukan saintis Universiti Pittsburgh memberi tumpuan kepada hampir 140,000 wanita yang sudah menopaus. Secara purata, sudah 35 tahun sejak wanita berkenaan menyusukan anak buat kali terakhir, menunjukkan faedahnya berkekalan selama beberapa dekad. Selain mengurangkan risiko masalah jantung, menyusu selama lebih setahun turut menurunkan risiko tekanan darah tinggi sebanyak 12 peratus dan diabetes serta kolesterol tinggi sekitar 20 peratus.

Kajian menunjukkan menyusukan bayi mungkin mengurangkan risiko kardiovaskular dengan menurunkan lemak yang tersimpan dalam tubuh. Bagaimanapun, penyelidik percaya kesannya lebih kompleks, dengan pembebasan hormon yang dirangsang oleh proses penyusuan turut memainkan peranan.

Salah seorang penyelidik, Dr Eleanor Bimla Schwarz, berkata: "Kita sudah lama tahu kebaikan menyusu untuk bayi dan ibu. Penyusuan ibu adalah cara penting tubuh wanita pulih daripada proses kehamilan. "Apabila proses ini terganggu, wanita berkemungkinan mendapat masalah kesihatan termasuk serangan jantung dan angin ahmar. � Agensi

Note : Jomla pakat reramai...susukan bayi anda selama mungkin!!

0 comments: