Thursday, July 27, 2006

Bukan bercinta tapi bersahabat

"Ana mengeluh dengan tingkah laku suaminya. Ana menuduh Saiful mula mengabaikan tangguungjawabnya sebagai suami. Menurut Ana, keadaan ini disedarinya apabila Saiful mula main kayu tiga dengan rakan sepejabatnya, Seri. “Sejak kehadiran perempuan itu dalam kehidupan abang Saiful, saya sering bertengkar dengan suami. Perempuan itulah punca keretakan rumahtangga saya.”

Namun apa pula jawapan Saiful?
“Ana sudah melampau. Cemburu buta. Saya dan Seri cuma bersahabat sahaja tak lebih dari itu. Nothing special between us. Sebagai rakan setugas, saya memang tak nafikan saya rasa begitu selesa bila berbincang. Seri mempunyai pandangan yang luas, mudah bekerjasama, pendengar dan penasihat yang baik malah kami juga banyak berkongsi minat yang sama. Itu saja tidak lebih dari itu…” Kata Saiful, tenang.

Azhari dan Sara juga mengaku hanya bersahabat. Kebetulan mereka berdua sama-sama exco tertinggi salah sebuah kampus universiti terkemuka. Azhari dan Sara sering berjumpa dalam pelbagai aktiviti dan sering bermesyuarat bersama bagi melancarkan aktiviti kampus. Menurut Sara, Azhari seorang aktivis pelajar yang matang dan baik. Dia bukan hanya menganggapnya sebagai seorang sahabat tetapi juga seorang “abang”. Setiap masalah dibincangkan bersama dan sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama lain. Kalau tak berpeluang bertemu mereka akan berhubung melalui telefon bimbit masing-masing. Ketika rakan-rakan sekuliah bertanya tentang keintiman hubungan mereka berdua, Azhari dan Sara dengan selamba mengatakan mereka cuma bersahabat. “Betul, kami tak ada apa-apa hubungan lain……”

Saiful dan Seri, Azhari dan Sara mengaku mereka hanya bersahabat. Namun kawan-kawan juga sesiapa yang berada di sekitar mereka merasakan ada sesuatu yang lebih dari sekadar bersahabat.


Persahabatan : Apa itu persahabatan?
Persahabatan merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan setiap insan. Mereka yang tidak mempunyai sahabat akan merasa kesepian dan tiada tempat meluah rasa. Namun bagaimana pula dengan persahabatan yang dijalinkan seperti Saiful dengan Seri atau Azhari dengan Sara yang menimbulkan gossip masyarakat sekitar? Sebelum perbincangan seterusnya, mari kita lihat sebentar makna atau erti sebenar sahabat itu sendiri. Menurut ahli psikologi, sahabat adalah orang yang dipercayai untuk diluahkan isi hati, kegembiraan atau kedukaan. Oleh itu sesiapa yang diyakini mempunyai ciri-ciri itu akan terpilih sebagai sahabat.

Setiap insan di dunia ini memerlukan sahabat atau orang lain dalam kehidupannya. Manusia perlu berkongsi sama dengan orang lain. Berkongsi sama itu sebenarnya pertahanan diri seseorang kerana manusia perlu untuk meluah dan mencurahkan isi hati dan perasaan-perasaan yang terpendam dalam diri kita. Dalam erti kata lain bahawa manusia memerlukan orang lain yang ia pilih dan percaya untuk meluahkan hal-hal peribadi.

Contohnya apabila seorang gadis bersahabat dengan seorang gadis lain, mereka boleh tidur sebantal, berkongsi barang atau saling pinjam meminjam baju atau seumpamanya atau lebih dari itu. Seseungguhnya manusia itu memang memerlukan sahabat dalam kehidupannya. Sekurang-kurangnya terdapat dua keuntungan yang diperolehi melalui persahabatan. Pertama, untuk merealisasikan mimpi atau visi hidup. Seseorang memerlukan orang lain untuk membincangkan mimpi-mimpi dan permasalahannya. Seseorang itu ingin orang lain mendengar dan tahu keinginannya. Seterusnya berusaha saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Kedua, sahabat diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian atau jalan keluar bagi sesuatu masalah atau perkara.

Persahabatan itu bermula dengan perkenalan. Setelah itu, jika terdapat kesamaan ide, gagasan, gaya hidup, minat, keperluan, cara berfikir dan harapan maka timbullah rasa saling simpati. Apabila telah wujud rasa simpati maka akan wujud keterbukaan dan ketika ini mereka telah bersedia untuk saling mencurah suara hati.


Persahabatan Jejaka dan Wanita
Sahabat mempunyai kedudukan yang begitu khusus dalam hati seseorang. Apa masalahnya apabila seseorang itu bersahabat dengan lawan jenisnya? Bolehkah kita bersahabat dengan jejaka atau sebaliknya?

Apabila berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita sesungguhnya tidak akan ada jaminan ini benar tulus dan murni. Sekurang-kurangnnya pasti ada harapan rasa ingin memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau kedua-duanya sekali. Mesti ada kemungkinan walaupun pada kadar yang sedikit. Hubungan seumpama ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis. Terlalu sukar dan rumit umtuk membezakan adakah hubungan ini benar-benar sekadar persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai yang mengharap kepada wujudnya hubungan hati dan fizikal.

Suatu yang amat sukar dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar bersahabat. Maka mulalah si jejaka atau wanita itu mengengan-angankan “kalaulah dia menjadi pendamping dalam hidupku”. Ketika ini sesungguhnya “tazyin syaitan” telah berjaya memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh utama (syaitan) telah merempuh masuk ke dalam hati yang telah sedia ada dalam keadaan lemah dan longgar pertahanannya.


Berhentikan Proses Seterusnya!
Oleh itu. Para muslimin dan muslimat yang dikasihi, jika perkenalan kita sudah berunah menjadi simpati segeralah susuli dengan pernikahan jika mahu proses persahabatan berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal. Manakala persahabatan di luar akad pernikahan bukanlah persahabatan ala sahabat (Rasulullah s.a.w.)

Sebagaimana yang terjadi antara Ali dan Fatinah. Setelah pernikahan antara Ali dan Fatimah, maka Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali, sebelum saya bernikah dengan engkau di kota Makkah ini, ada seorang pemuda yang menjadi idola dihatiku. saya sangat inginkan kelak dia menjadi suamiku. Tapi semuanya itu saya simpan di dalam hatiku” kata Fatimah. “Kalau begitu engkau menyesal menikahi saya?” tanya Ali. “Tidak, kerana pemuda itu adalah engkau” jawab Fatimah.

Oleh itu, di dalam Islam kita dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang soleh namun ia tidak diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati. Sesungguhnya cinta itu boleh “menghinggapi sesiapa” sahaja termasuk orang beriman atau para pendakwah. Apabila batas-batas pergaulan dan percampuran lelaki dan perempuan dilanggar, proses persahabatan sebegini akan terus bergulir dan tidak mungkin dihindari. Oleh itu, tidak mustahil jika para pendakwah lelaki dan perempuan juga turut terjebak untuk saling rindu-merindui…..


Sudah berlanjur digosipkan
Pengendalian diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang abstrak. Kita tidak mampu untuk mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati “berdegup” hebat. Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya biasa sahaja. Namun ini bukan bermakna kita dibolehkan bergaul bebas.

Bagaimana pula jika sudah terlanjur digosipkan, daripada fitnah, baik nikah sahaja. Inilah satu kesilapan besar. Ia bukanlah keputusan bijak. Tindakan yang diambil dengan menikahi rakan tersebut akan membenarkan sangkaan dan tohmaan orang selama ini. Tindakan sewajarnya yang mesti diambil adalah segera menghentikan hubungan tersebut. Jauhilah fitnah dengan mengendalikan hati, namun ketika hati tak terkendalikan jauhilah jarak fizikal. Hindarilah perkara-perkara yang mengundang fitnah seperti memberikan hadiah, sering berdua-duaan, sering telefon/sms dan seumpamanya.


Jangan terperangkap
Hati manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu. Sesungguhnya hati merupakan bejana yang paling penting. Ia merupakan kunci segala-galanya. Hati mestilah dikendalikan sebaik-baiknya. Manakala pandangan pula titik langkah awal yang amat perlu diawasi kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.

Sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat seorang wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan pandangannya dari wanita tersebut. Lalu bersabda: “Jangan kau ikuti pandangan itu dengan pandangan yang lain.”

Ketika inilah peranan iman yang kuat serta aktiviti ‘tazkiyatun nafs’ (penyucian jiwa) perlu dimainkan. Di saat iman sedang merudum, sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti yang melibatkan lawan jenis. Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu dijaga adalah diri dan keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak berkomunikasi. Ingatlah jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera kegiatan Islam dalam masa yang sama menjatuhkan Islam.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah mengingatkan orang-orang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga pandangan dengan firman-Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatannya. Itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka usahakan. Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan supaya mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang biasa lahir daripadanya….” (An-Nur:31-32)

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar tidak terlanjur memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan urusan-urusan yang penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda untuk bertemu. Jangan sekali membuat agenda baru agar dapat berinteraksi kembali. Sesungguhnya jika ini tidak dikawal ia merupakan permulaan tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.

0 comments: