KEAJAIBAN  HATI MANUSIA
12/12/2005
“Sungguh ajaib hakikat penciptaan  hati ini. Kelajuan perjalanannya tidak terhitung lajunya dan ruang gerakannya  tiada batas sempadan tempat. Bahkan bila jasad mati, hati terus hidup di alam  Barzakh sehingga ke alam Akhirat.”
Pernahkah kita terfikir ada  suatu keajaiban di dalam diri kita yang kita sendiri tidak mampu mengawalnya? Ia  diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia juga sangat sensitif terhadap  apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasa. Dari sanalah ia menentukan  sikap kita sama ada positif atau negatif. Yang peliknya, ia boleh bertukar-tukar  rasa. Adakalanya dia rasa senang bila dipuji, rasa menderita apabila dikeji.  Rasa riak dan megah pula  timbul bila mendapat kelebihan dan kejayaan. Hairan dengan diri bila mampu buat  sesuatu yang orang lain tidak mampu. Tapi tiba-tiba rasa rendah diri dan hina  diri bila ada kekurangan. Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa dan memiliki  ilmu lebih dari orang lain. Rasa marah bila dihina orang. Rasa tidak senang bila  tengok orang lain dapat lebih. Berdendam pula bila ada orang menganiaya diri.  Simpati dan belas kasihan bila melihat orang kesusahan. Rasa keluh kesah bila  mendapat kesusahan dan ditimpa penyakit. Rasa terhutang budi dan berterima kasih  kepada orang yang menolong kita. Rasa gerun bila berdepan dengan sesuatu yang  menakutkan. Rasa jijik pula bila berdepan dengan benda-benda kotor. Itulah  dia hati atau roh.
Memang  sungguh ajaib hakikat penciptaan hati ini. Kelajuan perjalanannya tidak  terhitung lajunya dan ruang gerakannya tiada batas sempadan tempat. Bahkan bila  jasad mati, hati terus hidup di alam Barzakh sehingga ke alam Akhirat. Hati atau  rohlah yang akan menanggung azab dan nikmat yang dilakukan oleh jasad lahir  semasa hidup di dunia.
Tempat letaknya roh ini ialah di dalam hati  jasmani. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan. Hati manusia boleh menerima perintah dan  larangan dan dipanggil rohul  amri. Manakala roh  haiwan tidak boleh menerima perintah dan  larangan dipanggil rohul  hayah.
Yang ajaibnya, hati yang boleh beralih-alih rasa itu,  ia sebenarnya boleh dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan ini pula akan  mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa baik, baiklah tindakannya dan kalau  rasa jahat, maka jahatlah tindakannya. Dengan kebolehan inilah hati seolah-olah  raja yang bertakhta di dalam diri manusia. Dialah bakal menentukan baik buruknya  manusia. Namun ia ada penasihat iaitu akal. Sementara anggota-anggota lahir  sebagai rakyat jelata yang sentiasa menurut perintahnya.
Sepertimana yang  berlaku di dalam sesebuah kerajaan, pasti ada sahaja musuh yang suka melihat  sesuatu kerajaan itu kucar-kacir. Begitu juga di dalam diri manusia, nafsu dan syaitan merupakan musuh utama roh  manusia. Begitulah rupanya struktur kerja yang berlaku di dalam diri manusia  yang perlu difahami dan diberi perhatian.
Kerana baik jahatnya seseorang  manusia sangat bergantung kepada pengurusan yang ada di dalam diri manusia itu.  Siapa yang mengabaikan hati, ertinya dia membiarkan dirinya berjalan di dalam  keadaan yang gelap dan meraba-raba hingga menyebabkan banyak benda yang  dilanggarnya. Kalau di dunia pun nasibnya belum tentu selamat apalagi kalau di  Akhirat nanti.
Sebab itu Allah memerintahkan supaya kita mendidik hati  kita supaya sentiasa berlaku taat kepada-Nya sepertimana
maksud firman-Nya:  
"Beruntunglah siapa yang  membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya." (As Syams :9)
"Pada hari itu, tidak berguna lagi harta dan anak-anak. Kecuali mereka  yang pergi menghadap Allah dengan membawa hati yang selamat." (Asy Syuara:  88-89) 
Bagaimana  sepatutnya hati seorang mukmin itu?
1.   Sensitif dengan Tuhan.
Merasa takut  dan gerun dengan kekuasaan Allah. Allah boleh berbuat apa sahaja tanpa perlu  berunding dengan manusia. Manusia terlalu lemah untuk menolak sebarang takdir  Allah. Katalah berlaku banjir di suatu kawasan perumahan, kalaupun mereka yang  tinggal di situ adalah golongan yang berharta dan mempunyai kuasa, tapi mampukah  mereka mengalihkan banjir ke kawasan lain? Sudah tentu tidak mampu. Mereka mampu  sekadar menyelamatkan diri, kalaupun belum terlewat. Begitulah bukti lemahnya  manusia.
2. Orang mukmin bila  mendapat kejayaan, nikmat, kemudahan hidup, kelapangan hidup, hatinya terasa  syukur kepada Allah.
Dia merasakan semua itu pemberian Allah,  bukan hasil usahanya. Kalaupun dia berusaha tapi bila Allah tidak izinkan, pasti  dia tidak mampu melakukannya. Sebagai contoh, berapa ramai di kalangan  tokoh-tokoh korporat yang dulunya menguasai perniagaan tapi terpaksa menanggung  hutang yang banyak bila menghadapi kemelesetan ekonomi. Sebab itu bagi orang  mukmin, kalau keuntungan dan nikmat diperolehi, dia merasa terhutang budi dan  malu dengan Allah. Walaupun dirinya masih banyak melakukan dosa dan tidak  membuat apa-apa bakti kepada Allah, namun Allah sudi lagi mengurniakan  berbagai-bagai nikmat kepadanya.
3.  Jika terbuat dosa, sekalipun dosa kecil, apalagi kalau dosa besar, hatinya akan  merasa resah gelisah, takut dan hilang ketenangan.
Rasa  menyesalnya bukan kepalang. Dia merasa bersalah dengan Tuhan. Bersungguh-sungguh  dia meminta ampun kepada Tuhan. Bukan sahaja matanya menangis, hatinya pun turut  menangis sama mengenangkan kejahatan yang dilakukan. Yang paling ditakutinya  bila dosa tidak terampun, bermaksud tentulah Allah tidak redha kepadanya. Tanpa  keredhaan Allah hilanglah bahagia di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.
4. Hati orang mukmin sentiasa rasa di  awasi Tuhan.
Allah mendengar, melihat, mengetahui apa sahaja yang  dilakukan setiap detik, setiap masa dan ketika. Semua manusia tidak terlepas  dari pengawasan-Nya. Kerana itu, orang mukmin sangat menjaga hukum dan perintah  Allah walaupun berhadapan dengan keinginan nafsu yang sedang memuncak.
5. Kalau diuji oleh Tuhan, hati orang  mukmin sabar dan redha. Bahkan tenang dengan ujian dan kesusahan  hidup. Dia bersangka baik dengan Allah bahawa ujian adalah untuk penghapusan  dosa atau peningkatan darjat di sisi Tuhan. Kalau diuji dia tidak pun melatah,  marah-marah, keluh kesah, apalagi merungut-rungut dan mengungkit-ungkit.  Sekalipun difitnah, ditohmah, dihina, disakiti, atau ditimpa bencana alam, dia  sedar kesemuanya merupakan ujian dari Allah dan Allah tidak bermaksud  untukmenyusahkan hamba-Nya melainkan ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.
6. Hati orang mukmin sangat merendah  diri dengan Tuhan.
Dari setitis air mani yang hina, manusia  terlalu lemah dan tiada kuasa apa-apa yang boleh dilakukannya kalau bukan dengan  kehendak Allah. Setiap detik manusia memerlukan Tuhan di dalam hidupnya.
7. Sentiasa terkenang nikmat-nikmat  Allah yang terlalu banyak yang belum pun sempat di hitung, Allah tambah lagi  nikmat-Nya. Nikmat ilmu, nafas, akal, air, makanan, harta, anak  isteri, bumi, langit, haiwan, tumbuhan dan seluruh alam semesta yang tidak  pernah kita minta. Allah jadikan kesemuanya itu untuk keperluan manusia. Berapa  banyak nikmat yang tidak kita minta dan belum pun kita syukuri telah Allah  berikan.
Justeru itu sepatutnya kita malu bila mendesak-desak Tuhan  supaya kabulkan permintaan kita yang belum Dia tunaikan. Begitulah Maha Baiknya  Tuhan yang setiap detik memberi nikmat tanpa meminta kita membalasnya.
Begitulah beberapa ciri hati orang mukmin yang sepatutnya kita rasakan.  Hati yang dapat merasakan perkara-perkara di ataslah hati yang membawa  keikhlasan, kejujuran, kasih sayang dan harmoni di dalam masyarakat. Akhirnya  dari hati inilah yang akan membuahkan keamanan, kedamaian dan kebahagiaan yang  diidam-idamkan. Tetapi kalau di dalam hati penuh dengan sifat hasad dengki,  pemarah, tidak boleh berlapang dada, sombong, iri hati, salah menyalahkan orang  lain dan berbagai-bagai lagi sifat yang negatif, mustahil akan melahirkan  masyarakat yang harmoni. Justeru itu mari kita sama-sama membina hati yang baik  agar asegala masalah yang kronik dapat diselesaikan dengan  segera.
0 comments:
Post a Comment