Tuesday, June 06, 2006
Bunga....
"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang
wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.."
Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni
cantiklah", maka akan menguntumlah sebutir
senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya.
Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok
bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam
manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.
Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya
miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil
tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan
manusia.
Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana
sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita
cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga,seisi dunia
mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya
sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada
pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak
merpati, senang didekat dan ditangkap lari.
Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan
kecantikkannya maka suamilah yang
menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah
dengan kehendak dan karenahnya. Lebih
malang jika si suami pula suka akan kecantikan
isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar
kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang
dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah
perginya, alangkah dayusnya dia.
Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam
seandai kemahuannya tidak tercapai,
mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta
cerai. Alangkah indahnya jika si isteri tadi,
kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke
lubuk hati mujahidin.
Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita
sama ada cantik atau tidak adalah pada
akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada
suami adalah akhlak yang indah.
Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti
tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang
derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik
warnanya harumnya tiada. Sebaliknya
wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat
suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya,
ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya
memikat jiwa.
Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka
diminati orang. Kasihan si bunga raya,
tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan
yang mempertontonkan kecantikan.
Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri
jadi mainan.
Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak
akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak
cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah
apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Usah bangga dan
usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih
sayang manusia.
Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita
yang bertaqwa dan berakhlak mulia.
Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.
Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat
kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut
luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada
yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi
kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung
pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan
manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang
neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan
gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang
dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan
itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina
terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan.
Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik
buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang
berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang
berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan
ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi.
Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian.
Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan
Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru
sanggup berjuang, berkorban apa saja demi
mendapatkannya?
Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki
anak-anak tangga menuju ke puncak taubat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment