Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Monday, March 22, 2010

Siapa patut dipersalahkan?

Berita yang menggemparkan saya ambil petikan dari BHOnline


17,303 anak luar nikah didaftar 2009 Oleh Mohd Azis Ngah azis@bharian.com.my 2010/03/21

KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam.

Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara.

Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.

Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah). “Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran. “Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN. “Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod. “Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.


Ya Allah...jika 17000 orang setahun, maknanya purat 50 orang sehari dan dianggar 2 orang bayi luar nikah telah lahir pada setiap jam. Jumlah itu adalah yang telah didaftarkan, kemungkin lebih sekiranya termasuk jumlah yang tidak didaftarkan. Siapa yang patut dipersalahkan??? Kerajaan?Pempimpin? Ibubapa?

Saya terpanggil untuk menulis isu ini di blog setelah mendengar topik di radio ikim.fm pagi tadi. Rasa tanggungjawab, bimbang, dapat didengar dari suara pemanggil yang menelefon. Tak kurang juga perasaan yang sama bagi setiap pendengar. Itulah hakikat...itulah kenyataan. Persekitaran yang tidak sihat sedikit sebanyak mencetuskan pergaulan bebas di kalangan remaja dan muda mudi. Peranan kita sebagai individu tetap ada....individu itu mungkin seorang ibu, ayah, anak, pemimpin, pekerja, abang, kakak, dan sebagainya tidak boleh dipandang ringan.

Ingat...ingatan untuk kita semua...jika Allah nak turunkan bala kepada sesuatu kaum, takut-takut kita turut merasa bala Allah itu. Tak mustahil bukan??

Friday, April 27, 2007

Planet baru: Pakar kaji kewujudan makhluk


GENEVA 26 April – Kumpulan astronomi Eropah yang mengumumkan penemuan planet baru seakan-akan bumi kelmarin, yang berpotensi menyokong kehidupan, mahu menumpukan perhatiannya pada sasaran lebih besar iaitu mengesan tanda-tanda kewujudan makhluk.

Ketua kumpulan itu, Michel Mayor meramalkan para penyelidik akan menemui tanda-tanda kewujudan makhluk dalam tempoh kurang dua dekad, sekiranya makhluk itu wujud di planet yang dilabelkan sebagai ‘super bumi’.

“Hanya satu perkara yang boleh kita lakukan. Kita boleh gunakan sains.

“Kita boleh melakukan eksperimen. Kita mempunyai metodologi, kemampuan untuk melakukannya. Jadi mari melakukannya,” kata Mayor, seorang ahli sains dari Universiti Geneva di sini, semalam.

Mayor yang diberi penghargaan pada tahun 1995 atas penemuan planet-planet pertama di luar sistem solar, berkata, sebagai seorang ahli sains, beliau tidak begitu pasti tentang kewujudan bentuk kehidupan yang lain di universe.

“Tetapi, secara peribadi, saya berasa selesa dengan idea wujudnya kehidupan di luar sana,” kata Mayor, 65, dalam satu temu ramah melalui telefon dengan AP.

Pakar-pakar astronomi terkemuka menyifatkan penemuan planet baru itu sebagai satu langkah penting dalam usaha mencari kehidupan di universe.

Planet itu, yang diberi nama kod Gliese 581 c, mungkin boleh menyokong kehidupan, dengan saiznya yang lebih kurang sama seperti bumi, suhunya yang sederhana dan mungkin mempunyai air dalam bentuk cecair.

Planet itu juga terletak, dalam istilah galaksi, berhampiran bumi, dengan jarak antara kedua-dua planet itu dianggarkan kira-kira 193 trilion kilometer.

Mayor bagaimanapun berkata, banyak lagi persoalan yang perlu dijawab berhubung dengan Gliese 581 c, yang ditemui melalui teleskop di Balai Cerap Selatan Eropah di La Silla, Chile.

Teleskop itu, yang mana Mayor turut membantu dalam melakarkan reka bentuknya, mempunyai peralatan khas yang memecahkan cahaya untuk mencari getaran dalam jarak gelombang yang berbeza-beza yang mendedahkan kemungkinan wujudnya dunia lain.

“Peralatan itu mempunyai kadar ketepatan yang tinggi,” kata Mayor sambil menambah bahawa diameter Gliese 581 c dan komponen udaranya tidak diketahui

artikel asal