Thursday, March 27, 2008

Ihsan


Ihsan membawa maksud " menyembah Allah seolah-olah kita melihatnya walhal kita tidak dapat melihatnya akan tetapi Allah sentiasa melihat kita. "

Rasa sedar terhadap pemerhatian Allah merupakan punca terhasilnya iksan. Dengan pemerhatian Allah, seseorang yang sedang melakukan ibadat akan cuba berusaha untuk menumpukan perhatian dan perasaannya terhadap ibadat yang sedang dilakukannya samada menghayati bacaan-bacaan atau melakukan perbuatan-perbuatannya dengan sempurna. Seseorang akan merasa bahawa dia sentiasa terikat dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah keatasnya samada peraturan itu berbentuk suruhan atau larangan, berbentuk amalan zahir atau batin dan samada ketika berseorangan atau dikhalayak ramai.

Sebagaimana firman Allah diawal khutbah tadi dalam surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud " Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman, ia mengajar kamu dengan suruhan dan larangannya ini, supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya "

Ihsan merupakan salah satu asas agama yang kedudukannya seiring dengan Islam dan iman. Islam diertikan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai bersaksi tidak ada tuhan selain Allah dan nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi yang mampu.

Manakala iman pula ialah beriman kepada Allah, rasul-rasulnya, kitab-kitabnya, malaikat-malaikat, hari akhirat serta qada' dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah. Ihsan merupakan amalan-amalan pokok yang menjadi tunggak kepada agama iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji. Pendorong dan pembekal ke arah pelaksanaan ihsan pula ialah keimanan terhadap rukun-rukun iaitu beriman kepada Allah, malaikat, rasul-rasul, kitab-kitab, hari akhirat serta qada' dan qadar.

Ihsan terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya ;
Pertama > Ihsan dalam ibadah,

Ibadah yang terkandung di dalam rukun Islam adalah merupakan asas kepada kehidupan seseorang muslim dan aktiviti sehariannya yang mengandungi pelbagai pengertian dan pengajaran. Ibadah mengajak kita tunduk dan menurut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah bagi setiap muslim. Ibadah melatih kita supaya menunaikan kewajipan tepat pada waktunya, sentiasa berhati-hati dan melakukan sesuatu kerja dengan penuh kesedaran dan penghayatan. Banyak lagi pengajaran-pengajaran yang dapat diambil dari ibadah yang kita tunaikan seharian.

Kedua > Ihsan dalam muamalat,

Ihsan dalam muamalat adalah merangkumi perkara-perkara seperti berbuat baik kepada ibu bapa, keluarga, kaum kerabat, jiran, orang fakir miskin dan juga kepada makhluk-makhluk lain. Berbuat baik kepada ibu-bapa ialah dengan tidak menyakiti hati mereka, mengikut segala suruhan dan permintaan mereka selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam, disamping menyempurnakan segala keperluan mereka terutama ketika mereka lanjut usia serta tidak berupaya melakukan kerja. Allah berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 23

Maksudnya : " Dan hendaklah engkau berbuat baik (ihsan) kepada ibu-bapa, jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan "ah' dan jangan engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun "'.

Ihsan kepada keluarga pula merangkumi anak-anak serta isteri, tidak terhad kepada mendidik juga mengasuh mereka dengan pendidikan dan pengetahuan agama secukupnya. Agama cukup penting supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sempurna berasaskan bimbingan agama disamping ilmu ketamadunan dunia bagi menjadikan mereka manusia yang berguna kepada diri mereka sendiri juga orang lain. Ikhsan kepada keluarga juga bermakna kewajipan memenuhi dan melengkapkan segala keperluan lahiriah seperti tempat tinggal dan makanan, disamping keperluan rohani serta jiwa, menurut kemampuan masing-masing.

Manakala ihsan kepada kaum kerabat ialah membantu sekiranya mereka ditimpa bencana atau kecelakaan yang tidak dapat dielakkan. Waktu sebeginilah perlunya kepada sifat ikhsan sesama kaum kerabat kerana hanya dengan sifat ini sahajalah masalah dapat diatasi atau sekurang-kurangnya dapat diringankan.Begitu juga dengan ihsan kepada jiran, bermakna kita sentiasa bekerja sama dan saling tolong-menolong dalam perkara kebajikan dan yang mendatangkan kebaikan bersama. Tidak mengganggu ketenteraman jiran dalam apa sahaja bentuk samada bising atau bauan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : " Tidak beriman seseorang kamu yang jirannya tidak tenteram dengan gangguan bunyian daripadanya ".

Kita juga mesti ada sifat ihsan kepada golongan fakir miskin, yang terbahagi kepada dua sepertimana berikut iaitu sentiasa memberikan rasa penuh kasih sayang dan pertolongan yang mereka perlukan dari semasa kesemasa sehingga Allah melapangkan keadaan mereka. Kedua, tidak menyakiti hati mereka samada dalam bentuk mengejek atau sebagainya. Allah berfirman

Maksudnya : " Dan orang yang meminta, maka janganlah engkau tengking herdik mereka "

Disamping kesemua sifat-sifat ihsan di atas, kita juga mesti ada sifat ihsan kepada makhluk-makhluk lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, bukit bukau dan sebagainya. Semua makhluk ini telah diserahkan oleh Allah kepada manusia yang juga salah satu makhluk ciptaannya. Penyerahan ini merupakan salah satu bentuk anugerah dari Allah kepada manusia, dan merupakan satu tanggungjawab akan dipersoalkan di akhirat. Oleh yang demikian terpulanglah kepada manusia untuk menguruskannnya dengan ilmu yang ada kearah yang membawa kebaikan kepada diri mereka sendiri. Kebijaksanaan dan keilmuan inilah yang dinamakan sebagai ihsan terhadap makhluk-makhluk tersebut.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud " apabila engkau menghukum bunuh seseorang manusia yang bersalah maka perelokkan hukuman bunuh tersebut, dan apabila engkau menyembelih binatang maka perelokkanlah sembelihan itu "

Ketiga > Ihsan dalam kerja dan aktiviti kehidupan,
Ihsan dalam kerja dan aktiviti kehidupan yang dilakukan seharian membawa beberapa maksud dan pengertian iaitu :

Pertama, kerja itu hendaklah suatu usaha yang diredhai oleh Allah dan rasulnya iaitu tidak bercanggah dengan syariat yang diturunkannya.

Kedua, kerja tersebut hendaklah dilakukan kerana Allah semata-mata dengan tidak menyekutukannya dengan sesuatu yang lain.

Ketiga, kerja itu hendaklah dilakukan dengan tekun, teliti dan bersungguh-sungguh serta bersistem dengan mengikut peraturan-peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Allah.

Keempat, membuatnya kerja yang mendatangkan manfaat kepada manusia dan juga seluruh alam seluruhannya tanpa sebarang kerosakan dan kebinasaan; dan

Kelima, bekerja dengan penuh amanah dan jauh dari sebarang penipuan walau dalam apa bentuk sekalipun seperti rasuah dan sebagainya.

Kesemua sifat ihsan ini hanya dapat dihasilkan sekiranya manusia itu menghayati dan berusaha dalam mengharungi hidup yang serba mencabar sekarang ini disamping suluhan hidayat daripada Allah subhanahua ta'ala. Antara jalan yang boleh menyampaikan manusia kepada sifat ihsan ialah :

Pertama, seseorang itu mempunyai ilmu tentang syariat Allah. Mengetahui perintah dan larangan Allah, halal dan haram sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah dan rasulnya.
Kedua, mempunyai sifat perasaan kasih sayang di dalam jiwa sesama manusia tanpa mengira darjat, warna kulit, bangsa dan bahasa.
Ketiga, mempunyai sifat menghargai kewujudan orang lain di atas muka bumi serta menghormati hak-hak dan keperluan yang mereka hajati.

Keempat, menanamkan semangat persaudaraan sesama manusia dan semangat persaudaraan di jalan Allah sesama Islam, dan akhirnya
Kelima, kita harus menghilangkan sifat iri hati dan hasad dengki serta sombong dengan kedudukan yang ada.

Firman Allah dalam surah At-Taubat ayat 100 yang bermaksud : " Dan orang-orang yang terdahulu, yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka dengan kebaikan iman dan taat, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan dia, serta dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, mereka kekal dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar "

0 comments: