Monday, June 19, 2006

Gelap Elak Kanser

Berita Harian - 19 June 2006

Cahaya elektrik waktu malam berkemungkinan punca barah payu dara


LONDON: Tidur dalam keadaan lampu yang terpasang atau berjaga sehingga lewat malam dikenal pasti sebagai antara punca seseorang wanita boleh diserang barah payu dara, menurut satu penyelidikan baru.


Penyelidikan itu memberikan ‘bukti pertama’ kaitan antara cahaya tiruan dan barah - mengesahkan kajian bahawa cara hidup moden menyebabkan penyakit dengan mengganggu kitaran tidur semula jadi.

Dijalankan oleh Institut Barah Kebangsaan dan Institut Sains Kesihatan Alam Sekitar di Amerika Syarikat kajian menawarkan penyelesaian kepada misteri peningkatan kadar barah payu dara di negara kaya yang mencatatkan bilangan lima kali lebih tinggi berbanding di negara membangun.

Pakar percaya separuh penyakit barah berkemungkinan berkaitan dengan latar belakang keluarga, tabiat merokok, mengambil minuman keras, diet, pengambilan ubat dan faktor reproduktif seperti tidak mempunyai anak atau melahirkan anak pada usia lewat.

Bagaimanapun, bukti semakin nyata menunjukkan cahaya elektrik yang digunakan pada waktu malam mungkin turut bertanggungjawab menyebabkan penyakit itu.

Kajian berulang kali menunjukkan pekerja syif malam seperti jururawat atau pramugari - 60 peratus lebih berkemungkinan diserang penyakit maut itu.

Satu lagi penemuan menunjukkan wanita yang kerap berjaga sehingga lewat malam dua atau tiga kali seminggu turut menanggung risiko sama. Sebaliknya, wanita yang buta sepenuhnya kurang 50 peratus berkemungkinan untuk menghidap barah payu dara.

“Manusia hidup tanpa cahaya elektrik sejak beribu generasi,” kata Profesor Charles Czeisler dari Sekolah Perubatan Harvard.

Sementara Profesor George Brainard dari Universiti Thomas Jefferson di Philadelphia menambah: “Tubuh direka untuk berjaga pada waktu siang dan tidur pada waktu malam. Kini kita mempunyai masyarakat yang berjaya 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu dan ia tidak harmoni dengan rekaan biologi kita.”

Kajian menunjukkan cahaya lampu pada waktu malam mengganggu salah satu pertahanan semula jadi tubuh yang paling kuat menentang barah iaitu melatonin yang digelar ‘hormon kegelapan.’

Ia yang dikeluarkan oleh kelenjar pineal pada waktu malam dan terutamanya pada awal pagi yang menghalang pertumbuhan barah dan meningkatkan sistem komunikasi. – Agensi

0 comments: