Friday, May 26, 2006

Sure Heboh', 'Jom Heboh', 'Fiesta Hurra' tetap haram - Mufti Perak

KOTA KINABALU, 25 Mei - Mufti Perak, Dato' Seri Dr
Harussani Zakaria berkata, program konsert 'Sure
Heboh' yang dianjurkan oleh sebuah stesen
televisyen swasta di negara ini tetap haram
walaupun selepas ia ditukar nama menjadi 'Jom Heboh'.

Sebuah akhbar tempatan di sini melaporkan,
Harussani menyifatkan program itu tetap haram
kerana ia boleh melalaikan umat Islam dengan
hiburan serta pergaulan bebas.

"Saya bersedih program itu masih diteruskan dan
kini timbul pula Fiesta Hurra yang diterbitkan
oleh televisyen milik kerajaan sendiri” katanya
kepada pemberita selepas menghadiri Forum Keluarga
Islam di Masjid Negeri Perak baru-baru ini.

Menurutnya, program yang diadakan bagi kempen
pesta bola sepak Piala Dunia itu sudah bertukar
menjadi pesta hiburan dan tarian tanpa mempunyai
batas pergaulan lelaki dan perempuan.

Beliau berkata, sebagai Mufti dan pemimpin Islam,
beliau bertanggungjawab untuk membuat kenyataan
seperti ini demi menjaga kehormatan umat Islam.

Katanya ketika orang lain sibuk membincangkan masa
depan ekonomi, pendidikan dan kebudayaan
masing-masing, umat Islam negara ini pula asyik
memikirkan tentang hiburan.

Majlis Mufti Malaysia dua tahun lepas memutuskan
bahawa konsert 'Sure Heboh' adalah haram di sisi
Islam kerana ia melalikan umat dan menggalakkan
maksiat di kalangan generasi muda.

Majlis Mufti berpendapat konsert itu merupakan
sesuatu yang melalaikan oleh itu ia wajar dihentikan.

Dalam perkembangan lain, Harussani berkata, umat
Islam negara ini juga perlu serius dalam usaha
menangani isu murtad kerana ia dikatakan telah
membabitkan lebih 100,000 orang terutama remaja
Melayu.

Harussani juga berkata, pihaknya juga baru-baru
ini menerima surat daripada sebuah badan Kristian
dari Amerika Syarikat yang mendakwa 40,000 orang
Islam warganegara Malaysia telah memeluk agama mereka.

Umat Islam tidak boleh memandang remeh perkara ini
atau bimbang untuk membicangkannya dengan alasan
ia sebagai isu sensitif, lapor akhbar berkenaan.

0 comments: